Thursday, October 24, 2013

Conteng2 dengan rasa

Mahu bicara. Idea ada tapi tidak tahu di mana harus bermula. Akhirnya terbantut lagi dan lagi..dan idea hilang kerana keterlupaan (nampaknya aku semakin dimamah usia..huhu). Tapi malam ini aku tiada teman bicara, tiada yang mahu menemani aku berbalas2 komen mahupun kicauan..jadi, di sinilah aku lepaskan sejumlah rasa yang ada. Seperti biasa kalau aku kelu, aku biarkan apa saja perkataan yang molek untuk diterjemah bermain2 atas permukaan maya...

Dalam hidup aku, ada ramai manusia yang aku mahu berterima kasih pada mereka. Atau mungkin sebenarnya aku harus berterima kasih pada semua yang pernah hadir, sedang hadir dan akan hadir. Terima kasih kerana wujud dalam detik-detik hidup aku. Hubungan kita terbina dengan rasa apa, aku tidak peduli. Aku sayang kamu, kamu sayang aku, aku benci kamu, kamu benci aku, aku hormat kamu, kamu hormat aku atau apa sahaja..boleh jadi juga tanpa ada sedikit pun rasa. Kosong. Hanya sebuah memori tanpa rasa. Aku lihat kamu, kamu lihat aku. Masih juga aku mahu berterima kasih untuk itu. Sebab kamulah yang mengisi lompang2 yang ada dalam jam usia aku. Dan aku yakin, Allah yang aturkan begitu. :')

Kamu2 yang datang menjengah sama ada aku suka atau tidak, terima kasih. Kerana kamu ada, aku tahu makna rasa. Aku tahu makna rindu, suka, meluat, jauh hati, dan sebilion lagi rasa yang ada dalam batin manusia. Aku belajar dari kamu. Aku belajar apa yang patut, apa yang tidak patut. Aku teliti, aku telusuri dan kadang2 aku juga menghukum. Ya, aku akui itu kerana aku pun bukan sempurna. Tapi tidak juga aku mahu jadikan alasan manusia biasa sebagai cara untuk melepaskan diri dari buruknya sikapku. Untuk itu, aku mohon kamu2 untuk maafkan aku. Aku mohon maaf, bukan dengan nada bongkak. Mana layak aku mahu bongkak sedangkan taraf kita semua sama - hamba. Jadi, maafkan aku ya sebab aku mahu nanti di dunia seterusnya aku dan kamu boleh tersenyum dan menyapa dengan kasih sayang bila dipertemukan semula. Aku takut memikirkan kita yang bercakaran dan saling menyalahkan di depan tuhan. :'(

Putar waktu hidup, hampir semua aku guna untuk melihat dan memikirkan setiap kejadian yang berlaku pada insan2 di sekelilingku..jauh atau dekat. Banyak aku gunakan untuk diriku. Sebagai pengajaran. Aku ambil kesempatan. Sebelum menyampaikan rasa simpati pada ujian yang menimpa kamu, kadang2 aku terlebih dahulu mengingatkan diri agar jangan jatuh dalam ujian yang sama. Walau aku tahu aku tidak mampu lari dari tulisan takdir sendiri yang Dia tulis sebelum jantung aku berdegup lagi, tetap juga aku berusaha menjaga diri sendiri. Malah sibuk benar aku menasihati sampai terlupa yang kamu perlukan telinga untuk mendengar, bahu untuk bersandar dan teman untuk memahami..bukan seorang aku yang menghakimi. Jahat kan aku? Pentingkan diri. Bila ada berita gembira  dari kamu, terlebih dahulu aku membayangkan diriku ada lebih dari itu atau paling kurang mendapat sama tara dengan kamu..barulah aku zahirkan bahagia yang, ada ketika aku tidak pasti disebabkan kegembiraanmu ataupun atas angan2 yang aku bina untuk diri. Baru kamu tahu betapa teruknya sikapku kan? Tapi sebelum kamu mahu menilai batang tubuh ini, aku mahu kamu tahu..semua yang aku zahirkan, aku sedaya upaya sampaikan dengan sepenuh rasa yang aku harap kamu juga boleh rasa. Aku mungkin lemah menghidupkan rasa di hati orang, tapi aku cukup berusaha menghidupkan rasa dalam diri sendiri lalu dikongsikan. Kalau kamu hilang rasa, aku sudi memberi rasa2 yang ada dalam aku. Kalau tidak mampu kamu rasa dengan deria, aku hadirkan dalam bentuk lain..asalkan kamu dan aku boleh berkongsi rasa.

Aku mahu teruskan berkata2 tapi mungkin harus disimpan patah2 kata itu untuk tafsiran sendiri dan diluah pada masa2 yang mendatang. Kerana kita bermula dengan rasa, maka aku juga mahu akhiri dengan rasa. Rasa chenta. Aku chenta kamu. Kamu yang masih tekun membaca contengan2ku yang penuh rasa. Terima kasih chenta...

raya yang dipenuhi rasa rindu
pada setiap chenta yang aku ada

No comments:

Post a Comment