Tuesday, August 31, 2010

warkah buat u.h

Ke hadapan u.h yang bakal menjadi imamku (insya Allah),
Maaf atas keberanianku mempamerkan warkah ini untuk tatapan semua. Hanya terdetik dalam hati untuk mengirimkan salam perkenalan buatmu yang masih belum kuketahui siapa. Inginku sampaikan salam kesediaanku menjadi kekasih halalmu yang bersama pada waktu kegembiraanmu serta ketika engkau menjalani ujian Allah yang maha getir. Telah kuberusaha menyiapkan diri ini untuk menjadi suri yang terbaik buatmu walau bukan yang paling sempurna. Sebelum itu wahai bakal nahkodaku, kupinta engkau tidak memandang tinggi diriku kerana aku punya banyak kekurangan. Aku tidak mampu menjanjikan tugas seorang isteri yang serba boleh tapi aku berjanji akan berusaha untuk memperbaiki kekuranganku di matamu. Kuharap engkau sudi mendidikku menjadi isteri soleha idamanmu.
Ke hadapan u.h yang bakal melafazkan akad dengan namaku,
Kuberjanji untuk memelihara rasa cinta yang berbaki ini khas untukmu. Maaf kerana cintaku tidak sempurna kerana kekhilafanku cuba mencari dirimu dalam diri insan lain hingga cinta ini telah tercalar. Kuharap engkau sudi menerima kisah silamku dengan hati yang terbuka sebagaimana aku akan menerima sejarah hidupmu dengan rela. Namun percayalah, tidak pernah kubiarkan maruahku turut tercalar. Kehormatan ini tidak pernah kuperdagangkan. Kehormatan ini telah kujanjikan sebagai hadiah penyatuan jiwa antara kita. Kuharap engkau jua begitu.
Ke hadapan u.h yang bakal menjadi pemimpinku,
Ketahuilah aku sudi menerimamu walau siapa dirimu, walau bagaimana rupa parasmu. Aku tidak mengharapkan kesempurnaan dalam dirimu kerana aku juga tidak sempurna. Tidak perlu engkau berwajah kacak yang menjadi kegilaan para wanita, cukup sekadar wajah yang menenangkan jiwaku sehingga tiada rasa jemu walau berdepanmu sepanjang hidupku. Tidak perlu harta dan kesenangan dunia kerana aku sudah merasai semua itu semasa berada dalam jagaan ibu bapaku, cukup sekadar nafkah yang tidak pernah tiada buat aku dan zuriat kita. Tidak perlu berpangkat besar atau daripada keturunan disegani, cukup sebagai seorang pemimpin yang banyak berjihad pada jalan Allah dan datang dari keluarga yang juga memelihara agama kita. Tapi satu yang sangat kuperlu dalam dirimu, jadilah seorang mukmin sejati yang bakal mendorong langkahku ke jalan syurga.

p/s : siapa u.h? baca entri ini.

No comments:

Post a Comment